SOP pengurusan bencana alam dikaji semula

Bernama
Oktober 18, 2018 20:58 MYT
Latihan menghadapi bencana dan latihan lain berkaitan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti akan diadakan secara berkala bagi penduduk yang tinggal di kawasan cenderung bencana. - Gambar hiasan
Prosedur operasi standard (SOP) sedia ada bagi pengurusan bencana alam seperti kemarau, gempa bumi, banjir, jerebu dan tsunami akan dikaji semula.
Langkah itu bertujuan menambah baik tindak balas terhadap sebarang bencana yang berlaku, demikian menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada Khamis.
Selain itu, menurut laporan tersebut usaha akan dibuat untuk memperkukuh pengurusan risiko bencana pada peringkat komuniti.
"Latihan menghadapi bencana dan latihan lain berkaitan pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti akan diadakan secara berkala bagi penduduk yang tinggal di kawasan cenderung bencana," kata kajian itu yang meliputi tempoh 2016-2017.
Menurut kajian itu, sistem bersepadu bagi ramalan cuaca dan banjir serta amaran awal banjir sedang dibangunkan manakala sistem amaran awal untuk pemantauan tsunami dan gempa bumi akan dipertingkat.
BACA: Ucapan Pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11
Di samping itu, profil risiko bencana akan disediakan untuk mengenal pasti kawasan cenderung bencana.
"Profil ini akan membolehkan program pengurangan risiko dan adaptasi direka bentuk dengan lebih baik, lebih bersasar dan khusus mengikut lokasi," kata laporan itu.
VIDEO: Benarkah sistem amaran Tsunami gagal?
Ia seterusnya berkata standard dan kod bangunan juga akan dikaji semula bagi membolehkan pengurangan risiko diambil kira dalam pembangunan pada masa depan.
"Selain itu, dasar akan digubal sebagai panduan untuk menyokong dan memperkukuh pengurusan risiko bencana termasuk pengurangan risiko bagi memastikan negara mempunyai daya tahan terhadap bencana," kata laporan itu.
-- BERNAMA
#amaran awal #banjir #bencana alam #gempa bumi #jerebu #Kajian #Kajian Separuh Penggal RMK11 #kemarau #latihan #Penduduk #pengurusan #profil #prosedur operasi standard #ramalan cuaca #risiko #sistem bersepadu #SOP #tsunami