PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) penyiasatan awam bagi pengeluaran kawasan tanah dari hutan simpanan kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.

Ia susulan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang diluluskan di Dewan Negara semalam dan RUU tersebut telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai lepas.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata SOP tersebut menggariskan kaedah dan proses yang terlibat dalam penyiasatan awam bagi pengeluaran kawasan tanah daripada HSK di Semenanjung Malaysia.

SOP yang dibangunkan itu akan dibentangkan untuk kelulusan Majlis Tanah Negara yang akan datang, katanya dalam kenyataan semalam.

"Penyiasatan awam yang dilaksanakan kelak diharap akan memberikan imej yang positif kepada kerajaan-kerajaan negeri khususnya dan kepada negara amnya di mana pewartaan keluar kawasan tanah HSK yang dibuat adalah pilihan terakhir setelah due-diligence atau usaha wajar dilaksanakan kerajaan negeri," katanya.

Takiyuddin berkata secara prinsipnya KeTSA tidak menggalakkan pengeluaran atau penyahwartaan mana-mana kawasan tanah daripada HSK.

Dalam keadaan tertentu, sekiranya sesuatu kawasan tanah perlu juga untuk dikeluarkan daripada HSK bagi tujuan yang diperlukan untuk kegunaan ekonomi yang lebih tinggi, beliau berkata pihak berkuasa negeri (PBN) hendaklah menjalankan penyiasatan awam mengikut kaedah-kaedah sebagaimana ditetapkan.

Takiyuddin berkata RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang diluluskan itu membuktikan komitmen jitu kerajaan dalam memastikan kawasan hutan yang merupakan khazanah dan ekosistem penting kepelbagaian biologi negara diberikan perlindungan sewajarnya.

"Saya berharap kerajaan-kerajaan negeri dapat terus memberikan sokongan kepada RUU ini dengan menerima pakai keseluruhan RUU sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing. Ia sekali gus mencerminkan kesungguhan kita sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dalam memelihara dan melindungi hutan," katanya.

Beliau berkata usaha untuk menambah baik Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) telah dimulakan sejak 2009 iaitu selama 13 tahun dan pindaan ke atas Akta 313 kali ini merupakan pindaan kali kedua selepas pindaan kali pertama dibuat pada 1993.

Secara amnya, pindaan ke atas Akta 313 kali ini bertujuan mengawal proses pewartaan keluar dan penggantian HSK serta memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan tanpa kebenaran.

Selain itu, ia juga untuk meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar, mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dan menambah baik jadual-jadual dalam akta bagi memantapkan pengurusan dan penguatkuasaan perhutanan.

-- BERNAMA