KUALA LUMPUR: Satu sindiket dadah antarabangsa yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan tikar sejadah untuk menyeludup ketamin secara kurier ke luar negara tumpas.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengesan muslihat licik itu seterusnya membawa kepada penahanan 13 individu termasuk seorang wanita, berusia antara 18 hingga 35 tahun.
 
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, sindiket  yang didalangi warga tempatan itu dibongkar hasil serbuan di sebuah syarikat kurier di Cheras pada 6 Mac lepas.

Pemeriksaan ke atas lima buah kotak yang diisytihar sebagai tikar sejadah berjaya menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 4.12 kilogram.

Dadah itu cuba diseludup menggunakan syarikat kurier ke Indonesia.



Siasatan lanjut membawa kepada enam lagi serbuan berasingan pada 8 Mac lepas di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Kita juga telah dimaklumkan daripada siasatan ini terdapat lagi lima kotak yang juga untuk dihantar ke Indonesia dengan (mengisytiharkannya sebagai) barangan agama Islam.

“Dari situ bermulanya sejumlah enam serbuan di rumah kediaman, yang mana dalam salah satu serbuan tersebut, kami telah dapati bahawa itu adalah tempat pemprosesan ketamin. Dadah ketamin yang dijumpai itu berjumlah 25 kilogram,” kata Razarudin.

Turut ditemui adalah pelbagai jenis dadah lain, peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah.

Keseluruhan nilai dadah yang dirampas dianggarkan RM4.9 juta, dan difahamkan sindiket itu mula beroperasi sejak November tahun lepas.

Daripada 13 individu yang ditahan, 12 daripadanya disahkan positif dadah.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.