MALAYSIA
Sorok dalam tabung ekzos motosikal, antara modus operandi empat sindiket dadah

Shazeli (dua kiri) berkata, dalam operasi yang dijalankan antara 23 dan 29 September lalu, JSJN merampas dadah berjumlah RM8.4 juta, dengan nilai sitaan sebanyak RM149,540. - Foto Astro AWANI/Ikqwan Lee
SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan empat sindiket dadah berasingan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabak Bernam, dan Kajang.
Ringkasan AI
- PDRM menumpaskan empat sindiket dadah dalam operasi sekitar KLIA, Sabak Bernam dan Kajang antara 23 hingga 29 September, dengan rampasan dadah bernilai RM8.4 juta dan sitaan RM149,540.
- Dadah yang dirampas termasuk 63.7kg ketamin, 27.7kg ekstasi, 12.3kg ganja dan 2.5kg syabu; lima suspek berusia 25 hingga 42 tahun ditahan, termasuk dua warga asing.
- Antara modus operandi ialah menyembunyikan syabu dalam tabung ekzos motosikal untuk dihantar ke luar negara; seorang suspek berusia 25 tahun positif dadah dan mempunyai dua rekod lampau.
Jelas beliau, serbuan tersebut membawa kepada penangkapan lima suspek iaitu tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 25 hingga 42 tahun.
Antara modus operandi yang digunakan suspek termasuk menyorok dadah dalam tabung ekzos motosikal.
“Pada 26 September, jam lebih kurang 12 tengah hari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah KLIA menerima satu kotak parcel berisi dadah jenis syabu seberat 2.5kg yang disorok dalam tabung ekzos motosikal, yang diserahkan oleh pihak polis bantuan Pos Malaysia di Hab KLIA Antarabangsa.
“Siasatan yang dijalankan pada jam 11.30 malam hari yang sama, polis telah menangkap seorang lelaki tempatan di sebuah rumah sekitar Hulu Langat, Selangor dipercayai suspek telah mengirim parcel tersebut melalui syarikat kurier untuk dihantar ke luar negara.
“Nilai rampasan dadah berjumlah RM80,000. Suspek berusia 25 tahun, sudah berkahwin, penganggur dan mempunyai dua rekod lampau. Saringan air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine," katanya.
Beliau berkata demikian sidang media mengenai Kejayaan JSJN Selangor di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata pada 23 September, seorang lelaki tempatan telah ditangkap di terminal KLIA 2 dalam keadaan mencurigakan ketika sedang menarik sebuah bagasi pada pukul 72.5 pagi.
Hasil pemeriksaan dalam bagasi tersebut menjumpai dadah disyaki bunga ganja sebanyak 12.3kg.
Ujar beliau, suspek berumur 42 tahun itu, dan bekerja dengan syarikat kontraktor binaan mempunyai 16 rekod lampau dalam pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
"Saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Nilai rampasan dadah bagi kes ini berjumlah RM432,000 dan dipercayai untuk dihantar ke luar negara," kata Shazeli.
Selain itu, Shazeli memaklumkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Sabak Bernam merampas dua bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah jenis ekstasi seberat 25.6kg yang ditinggalkan dalam sebuah kenderaan jenis perodua Alza di sekitar Bagan Sekinchan, Kuala Selangor.
Suspek kes terbabit berjaya ditahan sekitar 10.30 malam pada 26 September di sekitar Wangsa Maju, Kuala Lumpur, dipercayai selepas melarikan diri dan meninggalkan kenderaan terbabit.
"Nilai rampasan bagi kes ini berjumlah RM4.3 juta dan dipercayai untuk dihantar ke negara jiran.
"Tindakan juga diambil di Bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, yang mana polis turut menyita sebuah kereta jenis perodua Axia bernilai RM22,000 dan wang tunai bernilai RM540," katanya.
Dalam pada itu, dua lelaki warga India turut ditahan oleh sepasukan polis dari JSJN Kontinjen Selangor di kawasan parkir pangsapuri sekitar Kajang pada 24 September lalu.
Ketika tangkapan, kedua-dua suspek masing-masing berusia 35 dan 36 tahun itu sedang memunggah dua buah beg ke dalam bonet kereta jenis proton Saga.
"Hasil pemeriksaan dua beg tersebut menjumpai bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 47kg.
"Pemeriksaan lanjut dalam rumah suspek pula menjumpai bahan disyaki dadah jenis ekstasi sebanyak dua kg dan dadah jenis ketamin sebanyak 16.7kg di dalam sebuah kereta yang diparkir sekitar rumah tersebut.
"Kedua-dua suspek datang ke Malaysia hanya untuk bekerja dengan sindiket dadah ini. Salah seorang suspek tidak mempunyai sebarang dokumen, manakala seorang lagi telah tamat tempoh pasport," kata Shazeli.
Menurut beliau, kesemua suspek terbabit ditahan reman selama tujuh hingga 14 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu dan melengkapkan siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan akan dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami