Southern Volunteers mula digerakkan esok bagi bantu mangsa banjir

Nickyson Nyambar
Disember 19, 2021 13:56 MYT
Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitahkan supaya pasukan Southern Volunteers bersedia untuk dihantar ke kawasan yang terjejas banjir bagi membantu mangsa terlibat. - Gambar Facebook
KUALA LUMPUR : Pasukan Sukarelawan, Southern Volunteers bersedia untuk dikerah ke kawasan yang dilanda banjir ketika ini bermula esok.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, tindakan itu diambil sebagai menyahut seruan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta pasukan sukarelawan itu bersama membantu meringankan beban mangsa bencana tersebut.
"Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah menitahkan agar Southern Volunteers bersiap sedia untuk dihantar ke kawasan-kawasan banjir bagi usaha membantu, membersih dan pengagihan sumbangan barangan keperluan.
"Lantaran itu, satu mesyuarat tindakan khas telah diadakan tadi dan Insya-Allah Southern Volunteers akan mula bergerak esok," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Ahad.
Terdahulu, Tunku Ismail menitahkan pasukan Southern Volunteers bersedia untuk dihantar ke kawasan yang terjejas banjir.
Kata baginda, tindakan itu diambil sebagai usaha membantu, membersih dan mengagih sumbangan barang keperluan kepada mangsa banjir.
Sejak semalam hingga kini, banjir melibatkan enam negeri dengan lebih 14,000 mangsa banjir berada di pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan Pahang, Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan.
#banjir #pasukan sukarelawan #Titah TMJ #Tunku Mahkota Johor #Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Southern Volunteers