Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menerima lebih 880,000 permohonan jawatan dalam perkhidmatan awam secara dalam talian sepanjang dua bulan pertama tahun ini, kata pengerusinya Tan Sri Mahmood Adam hari ini.

Beliau menyifatkan jumlah itu sangat besar, dengan kebanyakan pemohon terdiri daripada pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Bagaimanapun, jawatan yang ada bergantung pada kekosongan yang wujud dalam jabatan dan agensi kerajaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Outreach S.P.A: Memperkenalkan SPA dan Perkhidmatan Awam kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di sini hari ini.

Mengenai 50,000 petugas kontrak dalam perkhidmatan awam, beliau menjelaskan bahawa mereka dilantik berdasarkan kekosongan yang wujud.

Mengenai program hari ini, Mahmood berkata satu karnival kerjaya juga diadakan untuk memberi bimbingan dan penerangan kepada orang ramai tentang kerjaya dalam sektor awam.