Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia tidak menghalang mana-mana penjawat awam yang berhasrat menjadi calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Zainal Rahim Seman, selagi ia mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan, terpulang kepada individu terbabit yang berminat untuk menjadi wakil politik mahupun dipilih untuk bertanding dalam PRU14.

"Bertanding atau tidak bergantung kepada calon berkenaan, jika dia dipilih untuk bertanding, bertandinglah. Tapi syaratnya kalau masih dalam perkhidmatan dia kena letak jawatan.

"Ikutlah prosedur biasa, semua bergantung kepada minat dan terserah kepada masing-masing kerana itu pilihan individu, mungkin sesetengah itu masih muda lagi dan mahu menceburi bidang baru, itu rezeki mereka," katanya.

Beliau berkata demikian di Wacana Transformasi Nasional 2050 (TN50) anjuran Kerajaan Negeri Perak dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda serta Pengerusi Cuepacs Perak, Zainal Ismail merangkap moderator.

Sementara itu, Azih ketika ditemui berkata, Cuepacs juga tidak melarang jika penjawat awam diangkat sebagai pemimpin, lebih-lebih lagi Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

"Cuepacs ucap tahniah kepada mana-mana pegawai kerajaan yang mungkin diberi pilihan untuk bertanding di dalam PRU akan datang, saya tidak tahu mewakili platform yang mana tetapi kalau hendak diangkat sebagai pemimpin tiada salahnya.

"Negara kita sebuah negara demokrasi dan demokrasi itu berparlimen di mana Parlimen kita diisi oleh wakil-wakil rakyat.

"Mereka ini adalah penggubal undang-undang dan sudah tentu melengkapi ciri-ciri kepimpinan mereka untuk menjaga negara jauh lebih baik daripada sekarang," kata Azih.

Wacana TN50 ini merupakan siri kesepuluh dianjurkan oleh Cuepacs dengan kerajaan-kerajaan negeri di Malaysia yang melibatkan penjawat-penjawat awam untuk mereka mencadangkan aspirasi masing-masing.

Melaka dan Selangor akan menjadi lokasi seterusnya bagi penganjuran Wacana TN50.