SPAD mulakan tindakan undang-undang dalam kes pemandu bas pukul penumpang

Astro Awani
Februari 6, 2016 07:49 MYT
Pengendali bas telah melanggar syarat-syarat lesen, yang termasuk kegagalan untuk memastikan pemandu bas sentiasa beretika.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan tindakan undang-undang dalam insiden seorang pemandu bas ekspres didakwa memukul dua penumpang ketika dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka, yang viral di media sosial.
SPAD dalam satu kenyataan berkata siasatan kes ini dijalankan pada 1 Februari, bersama syarikat bas ekspres, pemandu dan seorang saksi.
Pengendali bas telah melanggar syarat-syarat lesen, yang termasuk kegagalan untuk memastikan pemandu bas sentiasa berkelakuan baik dan beretika ketika bertugas.
BACA: SPAD pandang serius kes pemandu bas pukul penumpang
BACA: SPAD akan pastikan tindakan tegas diambil ke atas pemandu bas yang kasari penumpang
“SPAD juga telah mengeluarkan surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memohon pembatalan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu yang terbabit.
“Ini bermakna pemandu tersebut tidak akan dibenarkan memandu kenderaan pengangkutan awam darat di masa akan datang,” kata kenyataan itu.
Pemandu berkenaan turut disahkan sebagai telah diberhentikan kerja oleh syarikat bas terlibat.
SPAD turut menegaskan ia melihat kejadian salah laku seumpama ini, sebagai satu perkara yang amat serius.
Pada 29 Januari lepas, seorang pemandu bas ekspres didakwa memukul dua penumpang kerana tidur di kerusi rehatnya semasa dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Melaka.
Mangsa yang berumur 35 dan 41 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sambutan Thaipusam.
#pemandu bas ekspres #pukul penumpang #SPAD #Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat