KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 Rang Undang-undang Persendirian berkaitan kewarganegaraan kanak-kanak yang lahir di luar Malaysia, telah ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini berkata, beliau, yang merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang menghantar RUU Persendirian itu, telah mendapat notis penolakan tersebut.

Katanya lagi, alasan penolakan yang dinyatakan dalam notis tersebut ialah kerana sebarang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan memerlukan kebenaran Majlis Raja-Raja Melayu.

“Pada 15 September 2022, saya telah menghantar RUU Persendirian kepada Parlimen untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu bagi s1(b) dan s1(c) dalam Bahagian Kedua, Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan.

“Pindaan itu antara lain memasukkan perkataan “atau ibu” bagi membolehkan kanak-kanak yang lahir di luar negara kepada ibu rakyat Malaysia, untuk turut diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.

“Tujuan saya sebagai ahli kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita Dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial, adalah kerana ia merupakan satu tindakan diskriminasi jelas kepada kaum wanita, dan bukan satu tindakan bermoral untuk membiarkan ribuan kanak-kanak yang beribukan warga Malaysia, dikategorikan sebagai tiada kewarganegaraan, dan tidak mengetahui nasib mereka,” katanya lagi.

Azalina, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar Kerajaan hari ini untuk mengutamakan tindakan bagi membolehkan taraf warganegara diberikan kepada kanak-kanak beribukan rakyat Malaysia yang lahir di luar negara.

Katanya lagi, ia merupakan hak kelahiran mereka.

“Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak, dan Pembangunan Sosial telah menzahirkan kemahuan mereka untuk membawa perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Kita perlu bertindak demi kebaikan anak-anak kita, dan demi hak ibu warganegara Malaysia, dan kita perlu bertindak sekarang,” katanya lagi.