MALAYSIA

Spekulasi rombak Kabinet: ‘Nak rombak atau nak samba?’ - PM beri reaksi bersahaja

Faida Rahim 07/11/2025 | 11:59 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi reaksi bersahaja ketika ditanya tentang kemungkinan rombakan Kabinet dalam masa terdekat. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: “Nak rombak atau (nak) samba (tarian)", itu reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya sama ada rombakan Kabinet akan berlaku dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada beliau sudah mempunyai senarai nama untuk Kabinet baharu, beliau meminta agar diberi cadangan kepada beliau sekiranya berlaku rombakan.

“Rombak atau samba? Tolong bagi cadangan kalau ada, nak samba atau (nak) rombak,” katanya tersenyum.

Ketika ditanya kepada siapa cadangan itu perlu dikemukakan, Perdana Menteri sambil tersenyum berkata, “Kat saya tak apa."

Spekulasi rombakan semakin hangat ketika Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dalam ucapan majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025 berkata beliau tidak pasti sama ada masih akan terus menyandang jawatan dalam Kabinet pada masa depan.

“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet ataupun tidak, itu soal nombor dua. Tetapi ini (FOI) adalah agenda negara. Sebab saya pun tak lama, dua tiga minggu lagi ada lagi," katanya.

Kenyataan Zambry itu menguatkan lagi spekulasi rombakan Kabinet akan berlaku pada awal bulan depan.

Ia susulan tempoh beberapa ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri berstatus Senator bakal menamatkan
penggal mereka bulan depan.





#Anwar Ibrahim #rombakan kabinet #Perdana Menteri #cadangan #politik #pentadbiran