[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
NATIONAL

Spesies tuntung sungai terancam ditemui di Sungai Kuantan

Sinar Harian 23/03/2025 | 07:15 MYT
Kakitangan Perhilitan, Mohd Sairin Muhamad bersama sebahagian telur tuntung sungai yang ditemui hasil kajian lapangan di Sungai Kuantan baru-baru ini. -Foto TCS
KUANTAN: Seekor tuntung sungai (batagur affinis) yang ditangkap seorang nelayan secara tidak sengaja di Sungai Kuantan membawa kepada penemuan penting kewujudan populasi baharu spesies itu di negeri ini.


Ringkasan AI
  • Penemuan tuntung sungai di Sungai Kuantan menunjukkan kewujudan populasi baharu spesies tersebut di Pahang.
  • TCS dan Perhilitan Pahang menjalankan kajian lapangan dan menemui 41 butir telur tuntung sungai.
  • Kerjasama antara pihak berkuasa, penyelidik, dan pakar pemuliharaan penting untuk memastikan kelangsungan spesies terancam ini.


Pengarah Eksekutif Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, penemuan itu sekali gus meluaskan taburan spesies tersebut yang sebelum ini hanya direkodkan di Kedah, Perak, dan Terengganu.

Menurutnya, penemuan itu penting kerana tuntung sungai yang sebelum ini tidak ditemui di Pahang telah dikenal pasti populasi baharunya di Sungai Kuantan.

"Populasi spesies itu ditemui susulan seorang nelayan tempatan yang secara tidak sengaja tertangkap haiwan tersebut semasa memancing di sungai berkenaan.

"Bertitik tolak atas maklumat diterima, tinjauan lapangan telah dijalankan pihak TCS bersama renjer Perhilitan Pahang, 17 Januari lalu.

"Bagaimanapun kajian lapangan ketika itu gagal dan terpaksa ditunda ekoran cuaca hujan menyebabkan air sungai tinggi dan berarus deras," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pelf berkata, pihaknya mendapat kerjasama nelayan yang menemuinya sebelum ini untuk memantau dan menyalurkan maklumat kehadiran tuntung sungai di kawasan sungai tersebut.

"Pada 18 Februari lalu, nelayan terbabit beritahu dia nampak kehadiran haiwan itu dan pada hari berikutnya kami sekali lagi turun ke lapangan dan berjaya mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi sebagai tapak sarang tuntung sungai di sepanjang Sungai Kuantan.

"Paling penting pada tinjauan itu, kami berjaya menemui sarang bersama 25 butir telur tuntung sungai.

"Telur-telur yang ditemui dikutip untuk dieramkan," katanya.

Beliau berkata, tinjauan ketiga dilakukan pada 6 Mac lalu membawa kepada penemuan 16 telur lagi menjadikan keseluruhan telur tuntung sungai ditemui di Sungai Kuantan 41 butir setakat ini.

"Penemuan ini mencadangkan bahawa Sungai Kuantan berpotensi dan berperanan penting dalam pembiakan dan kelangsungan spesies itu.

"Kerjasama antara pihak berkuasa tempatan, penyelidik dan pakar pemuliharaan amat penting dalam memastikan kelangsungan populasi yang baru ditemui ini.

"Penemuan ini juga menekankan kepentingan penyelidikan lapangan yang berterusan serta pemantauan ekosistem air tawar bagi melindungi spesies yang semakin berkurangan ini," katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Presiden TCS, Dr Maketab Mohamed berkata, kehadiran populasi tuntung sungai di Pahang mengukuhkan keyakinan bahawa dengan strategi pemuliharaan yang betul, akan memberikan impak yang bermakna dalam usaha melindungi spesies itu untuk generasi akan datang.

Menurutnya, tuntung sungai spesies yang sangat terancam akibat kemusnahan habitat, pemburuan haram dan ancaman alam sekitar yang lain.

"Bagaimanapun, populasi baharu yang ditemui ini memberi harapan baharu terhadap kelangsungan jangka panjang spesies ini.

"Para penyelidik kini memberi tumpuan kepada perlindungan telur tuntung sungai, serta mengenal pasti potensi ancaman dan melaksanakan usaha pemuliharaan yang lebih tersasar," katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, penemuan tersebut mengukuhkan lagi kepentingan Pahang sebagai habitat kritikal bagi spesies terancam itu.

Menurutnya, Perhilitan Pahang akan terus bekerjasama dengan persatuan dan penduduk setempat dalam memastikan pemuliharaan spesies tuntung sungai di negeri ini.

"Pihak jabatan akan terus menyokong usaha melindungi tuntung sungai dan habitatnya melalui pemantauan yang ketat serta inisiatif pemuliharaan yang berkesan," katanya. -Sinar Harian







#spesies terancam #tuntung sungai #Sungai Kuantan #Perhilitan Pahang #TCS