SPINE pacu reformasi integriti sektor awam, tangani sentimen negatif masyarakat

Ahmad Ramdzan (kanan) bersama Zakaria (tengah) dan Hashim (kiri) dalam program Pantau Agenda Reformasi membincangkan langkah SPINE sebagai usaha manambah baik sistem pentadbiran negara.
KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) sebagai usaha manambah baik sistem pentadbiran negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud berkata, SPINE dibangunkan susulan laporan tahunan Ketua Audit Negara yang menunjukkan ketirisan penggunaan dana awam dalam sektor agensi kerajaan.
Menurut beliau, tanggungjawab utama SPINE adalah untuk memeriksa tahap kesihatan sektor awam bagi memastikan tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dapat ditingkatkan.
“Sebagai contoh, antara sektor awam yang paling lama adalah Polis Diraja Malaysia yang telah berusia 218 tahun. Jadi SPINE ini akan memeriksa dari segi kesihatan organisasi tersebut, bagaimana organisasi itu berada dalam peredaran masa bagi menentukan tahap kesihatan sektor awam berkenaan,” katanya dalam Pantau Agenda Reformasi pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban pula berpandangan, SPINE menjadi pelengkap kepada usaha meningkatkan tahap integriti jabatan.
Beliau berkata, sebelum ini persepsi masyarakat terhadap integriti JIM sering diperkatakan dengan hal yang negatif kerana kurang penilaian pihak luar.
“Apabila SPINE ini diperkenalkan oleh kerajaan, kita menyambut baik usaha tersebut untuk meningkatkan lagi tahap integriti JIM. Sebelum ini orang hanya bercakap, tidak ada penilaian dan tidak ada semakan. Dengan adanya SPINE, sekurang-kurangnya JIM tidak claim kononnya kita ini seronok sendiri, sebaliknya ada penilaian yang diiktiraf.
“Markah dan penanda aras yang diberi bukan daripada kita sendiri tetapi daripada pihak luar dan ini menunjukkan kredibiliti serta sedikit sebanyak membantu memulihkan persepsi negatif masyarakat terhadap jabatan ini,” ujarnya.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Integriti, Seksyen Governans dan Integriti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Hashim Borham, pelaksanaan SPINE turut mendorong JPJ menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) lama yang tidak lagi berkesan.
“Sebagai contoh, SOP yang mungkin dibuat pada 2019 tetapi sekarang sudah 2025, banyak tahun berlalu. Maka kita semak semula dan sesuaikan dengan sistem MySikap JPJ.
“Di situ kita dapati SOP arahan jabatan yang lama itu sebenarnya perlu diteliti semula dan dibatalkan kerana berisiko bertindan. Walhal pada asalnya hanya jawapan ya atau tidak, tetapi akhirnya ia mendorong penambahbaikan yang menepati kehendak SPINE itu sendiri,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan SPINE bertujuan memperkukuh ekosistem integriti, meningkatkan tadbir urus dan memerangi rasuah dalam sektor awam melalui penilaian kendiri organisasi.
Katanya, ia merupakan pendekatan komprehensif berasaskan data bagi mengenal pasti jurang kelemahan, melaksanakan intervensi pembetulan dan memberikan pengiktirafan kepada organisasi yang menunjukkan prestasi unggul.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


