Skip to main content

Malaysia

SPM 2025: Pencapaian GPK 4.42, bukti kebangkitan calon

Sumber: Astro AWANI
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad mengumumkan keputusan peperiksaan tersebut dengan pencapaian memberangsangkan, apabila bilangan calon yang layak meningkat berbanding tahun sebelumnya. - Gambar Astro AWANI

PUTRAJAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan kebangkitan mereka daripada fasa gangguan pandemik sebelum ini apabila melakar pencapaian Gred Purata Kebangsaan (GPK) terbaik sejak Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) diperkenalkan pada 2021.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, GPK bagi tahun 2025 meningkat kepada 4.42 berbanding 4.49 pada 2024, sekali gus meneruskan trend peningkatan konsisten daripada 4.86 pada 2021.

Advertisement

"Calon SPM 2025 telah melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang panjang dan berterusan bermula dari prasekolah, enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah. Perjalanan selama 11 atau 12 tahun ini sememangnya penuh dengan cabaran.

"Hasil dedikasi tidak berbelah bahagi para guru yang sentiasa melaksanakan pelbagai intervensi bagi membangunkan potensi murid, calon-calon yang dibimbing di dalam bilik darjah ini telah muncul sebagai insan yang berdaya tahan dan yakin, seterusnya mampu menduduki peperiksaan SPM 2025.

"Syabas kepada semua calon atas komitmen dan kerja keras dalam mencapai kejayaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan SPM 2025 di sini, hari ini.

Beliau memperincikan seramai 13,779 calon memperoleh gred A+, A, dan A- dalam semua mata pelajaran (sedikit penurunan berbanding 13,827 pada 2024), manakala bilangan calon yang memperoleh keputusan semua A+ meningkat kepada 376 berbanding 352 pada tahun lalu.

Sementara itu, bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian (Gred C) dalam semua mata pelajaran melonjak kepada 92,347 orang pada 2025 berbanding 86,040 orang pada 2024.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar terus mengecil kepada 0.04 mata sahaja.

GPK bagi calon bandar mencatatkan 4.40 (turun daripada 4.47 pada 2024), manakala calon luar bandar merekodkan 4.81 (meningkat daripada 4.92 pada tahun sebelumnya).

"Ini menunjukkan bahawa intervensi bersasaran dan program sokongan telah banyak membantu murid di kawasan luar bandar untuk mencapai tahap kesetaraan yang lebih dekat dengan rakan sebaya mereka di bandar," jelas beliau.

Sementara itu, pencapaian memberangsangkan turut direkodkan oleh calon daripada program khas dan komuniti kurang berkemampuan.

Bagi pelajar Orang Asli, seramai 1,769 daripada 2,128 calon (83.13 peratus) layak mendapat sijil SPM, satu peningkatan ketara berbanding 1,527 calon (79.04 peratus) pada 2024. Daripada jumlah itu, lima pelajar memperoleh semua A, manakala 133 mendapat sekurang-kurangnya kepujian.

SPM 2025 turut melakar sejarah tersendiri buat pelajar dari Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney apabila kesemua 99 calon (100 peratus) layak mendapat sijil berbanding 94 calon (98.95 peratus) tahun lalu. Malah, buat pertama kalinya, seorang calon dari sekolah tersebut berjaya memperoleh keputusan semua A.

Bagi calon Sekolah Tunas Bakti pula, seramai 35 daripada 44 calon (79.55 peratus) layak mendapat sijil, mencatatkan sedikit penurunan berbanding 20 daripada 21 calon (95.24 peratus) pada 2024.

Mengulas mengenai kadar kehadiran, Mohd Azam memaklumkan daripada 395,740 calon baharu yang mendaftar untuk sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, seramai 348,400 calon dari sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) telah menduduki peperiksaan tersebut, mewakili kadar kehadiran 98.58 peratus.

Jumlah calon yang tidak hadir juga menurun kepada 7,099 orang berbanding 8,108 orang pada 2024.

Beliau berkata, antara faktor ketidakhadiran termasuklah komitmen kerja, berpindah ke luar negara, kemalangan, masalah keluarga, isu kesihatan, masalah pengangkutan, kematian dalam keluarga dan ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, pengurangan bilangan tidak hadir ini dibantu oleh pengesanan awal murid berisiko cicir menggunakan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) milik kementerian, serta intervensi berfokus seperti lawatan ke rumah dan program pementoran.

Mohd Azam menegaskan bahawa peningkatan ini mencerminkan daya tahan kohort COVID-19 yang sebelum ini berhadapan gangguan persekolahan di peringkat awal sekolah menengah, selain dedikasi tinggi para guru.

Beliau menambah, kejayaan ini adalah hasil pendekatan kolaboratif yang melibatkan KPM, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, ibu bapa, komuniti serta agensi kerajaan dan swasta.

"Usaha KPM akan terus diperhebat bagi merapatkan jurang bandar dan luar bandar menerusi pembangunan infrastruktur yang menyeluruh, penempatan guru bertauliah dan agihan program intervensi yang saksama demi memastikan tiada murid yang tercicir," katanya.

Must Watch Video