MALAYSIA
SPPP bangunkan SOP pengendalian sisa buangan kapal, sokong agenda pelabuhan lestari

Yeoh berkata SOP yang dibangunkan bertujuan memastikan keseragaman, pematuhan undang-undang berkaitan dan kelancaran dalam proses pengendalian sisa buangan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang. - Gambar fail/Facebook Yeoh Soon Hin
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) lengkap berkaitan aktiviti pengendalian sisa buangan kapal dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan kebersihan alam sekitar.
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata SOP yang dibangunkan bertujuan memastikan keseragaman, pematuhan undang-undang berkaitan dan kelancaran dalam proses pengendalian sisa buangan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang.
"Dalam usaha untuk membangunkan SOP pengendalian aktiviti tersebut, SPPP telah mengadakan beberapa siri sesi libat urus bersama pihak berkaitan dengan setiap pihak terlibat mempunyai peranan yang signifikan dalam pembangunan SOP ini.
"Antara pihak terlibat ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berhak dalam kelulusan kerja-kerja yang dimohon untuk dilaksanakan tertakluk kepada bidang kuasa JKDM," katanya dalam kenyataan hari ini.Selain itu, beliau berkata Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selaku operator pelabuhan dilantik turut terlibat dalam sesi libat urus berkenaan bagi memastikan hanya syarikat yang dilesenkan oleh SPPP menjalankan aktiviti pengendalian sisa di kawasan Pelabuhan Pulau Pinang.
Yeoh berkata pihaknya juga telah mengambil kira penglibatan syarikat pengendali yang telah dilesenkan pada tahun ini dan syarikat perkapalan bagi memastikan SOP dibangunkan itu merangkumi semua aspek penting dalam pelaksanaan aktiviti pengendalian sisa buangan kapal.
Beliau berkata dengan kerjasama PPSB, SPPP komited memastikan setiap pengendali berlesen melaksanakan aktiviti pengendalian sisa buangan kapal di Pelabuhan Pulau Pinang dengan pematuhan penuh terhadap SOP yang telah ditetapkan demi memelihara integriti operasi pelabuhan dan kelestarian alam sekitar.
SPPP melesenkan aktiviti pengendalian sisa buangan kapal bermula 2021 melalui Pekeliling Pelabuhan No. 6/2021 (Garis Panduan Permohonan Lesen Pengendalian Sisa Buangan Kapal) dan melalui pindaan Pekeliling Pelabuhan No. 4/2023 (Garis Panduan Permohonan Lesen Pengendalian Sisa Buangan Kapal) di Pelabuhan Pulau Pinang setelah mengambil kira keperluan untuk memantau aktiviti tersebut.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami