KUALA LUMPUR:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadangkan untuk mewujudkan pusat mengundi di Semenanjung Malaysia dan Sabah sebagai alternatif kepada undi pos ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

Kordinator UndiSarawak, Faizul Zuraimi berkata, dengan adanya pusat mengundi itu, mereka yang bekerja di Semenanjung atau Sabah tidak perlu pulang ke Sarawak untuk mengundi.

"Dengan wujudnya banyak kekangan perjalanan ekoran penularan COVID-19, maka adalah lebih baik sekiranya SPR boleh mempertimbangkan untuk membuka pusat mengundi di kawasan-kawasan itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Isnin.

Baru-baru ini, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan tetap meneruskan Pilihan Raya Negeri ke-12 meskipun sedar negara kini berdepan dengan pandemik COVID-19.


Beliau memberitahu, mandat bagi kerajaan negeri itu akan berakhir pada Jun 2021 dan apabila mencapai tempoh matang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak secara automatik tetap akan bubar.

Justeru ujarnya, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

Antara lain, selain menambah pusat mengundi Faizul turut mencadangkan SPR supaya mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh mengundi.

"Instead of voting day, kita boleh mengadakan voting week bagi mengelakkan kesesakan dan pematuhan penjarakan fizikal yang lebih berkesan," katanya.

BACA: PRN Sarawak tidak boleh dielak, tetap diadakan - Abang Johari