MALAYSIA

SPRM akan panggil beberapa individu bantu siasatan kes dana zakat

Bernama 01/02/2026 | 05:30 MYT
Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S Karunanithy berkata pihaknya akan merakamkan keterangan individu tersebut bagi membantu siasatan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang akan memanggil beberapa lagi individu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan dana zakat.

Pengarah SPRM Pulau Pinang Datuk S Karunanithy berkata pihaknya akan merakamkan keterangan individu tersebut bagi membantu siasatan.

"Kita akan panggil beberapa lagi individu dan saya tidak akan mengulas lanjut kerana SPRM sedang menjalankan siasatan terperinci," katanya ketika ditemui pada sambutan Thaipusam di Jalan Air Terjun di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat ke Thaneer Panthal sempena sambutan itu dengan terdapat 182 gerai berhias di sepanjang jalan sejauh dua kilometer menuju ke kuil.

SPRM Pulau Pinang sebelum ini mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa itu susulan pendedahan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hujung tahun lepas.

SPRM memaklumkan pasukan siasatan telah ke beberapa pejabat berkaitan bagi mendapatkan dokumen selain turut merakamkan percakapan dua individu dipercayai berkait dalam kes itu.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara bebas dan tidak akan campur tangan atau menjalankan siasatan dalaman berhubung perkara itu.

-- BERNAMA






#SPRM #pulau pinang #dana zakat #S Karunanithy #Rasuah