SPRM bangun sistem pencegahan kebocoran maklumat perolehan kerajaan

Azam Baki berkata sistem berkenaan dijangka mampu menangani isu kebocoran maklumat dalam perolehan kerajaan kerana kebanyakan kes yang disiasat melibatkan pelanggaran garis panduan dan prosedur perolehan. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membangunkan satu sistem bagi mencegah kebocoran maklumat melibatkan perolehan untuk kegunaan agensi kerajaan.
Ringkasan AI
- SPRM membangunkan sistem cegah kebocoran maklumat dalam perolehan untuk agensi kerajaan, berpotensi tangani isu pelanggaran garis panduan dan prosedur perolehan.
- Sistem ini akan diberikan secara percuma kepada agensi kerajaan yang berminat; SPRM dan KKR bersatu dalam memperkukuh integriti serta memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
- Nota kerjasama terbaru antara SPRM dan KKR fokus pada pengukuhan pengoperasian, pencegahan rasuah, pendidikan antirasuah, dan perkongsian kepakaran untuk membanteras jenayah rasuah dengan lebih strategik dan bersepadu.
"Sistem itu akan diberikan secara percuma kepada mana-mana agensi kerajaan yang berminat untuk mengguna pakai apabila ia berjaya dibangunkan sepenuhnya kelak," katanya pada Majlis Penandatanganan Nota Kerjasama antara SPRM dan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata nota kerjasama yang diterajui Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM itu merupakan manifestasi iltizam berterusan antara SPRM dan KKR dalam memperkukuh integriti, meningkatkan tatakelola serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa secara lebih strategik, bersepadu dan konsisten.
Beliau berkata SPRM terus komited untuk menjadi rakan strategik kepada kementerian dan agensi kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan bertanggungjawab.
Sementara itu, Ketua Setiausaha KKR Datuk Seri Azman Ibrahim berkata kerjasama dengan SPRM dapat membantu kementerian membendung isu berkaitan rasuah dan tadbir urus, sekali gus mengelak kerugian kepada kerajaan seperti kes yang pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berharap nota kerjasama berkenaan dapat memperkukuh jaringan kerjasama dua hala antara kedua-dua agensi, selain memperkukuh agenda "Keep Malaysia Clean" ke arah membina negara yang bebas rasuah dan berteraskan integriti.
Kerjasama antara SPRM dan KKR bermula sejak 2013 melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan kemudian diperkukuh dengan Nota Kerjasama pada 2022.
Pembaharuan pada tahun ini menumpukan kepada pengukuhan pengoperasian, pencegahan rasuah dan pendidikan antirasuah serta perkongsian kepakaran dalam pengesanan jenayah rasuah, penyaluran maklumat, pembangunan kompetensi dan latihan bersama.
Langkah itu termasuk penempatan pegawai kanan KKR bagi meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh kepakaran rentas agensi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


