KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank syarikat sebuah pertubuhan amal yang menjalankan kutipan derma untuk Palestin bagi membantu siasatan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Kenyataan itu turut menyebut, nilai akaun bank semua syarikat pertubuhan tidak berteraskan keuntungan terbabit serta beberapa entiti syarikat lain yang dibekukan semalam berjumlah RM15,868,762.

"Sebelum ini, SPRM turut membuat penggeledahan di premis pertubuhan amal itu serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

"Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

"SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting dan hasil siasatan awal telah mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan," katanya.

SPRM sebelum ini menjalankan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan sebelum pihaknya memanggil beberapa individu bagi dirakamkan keterangan.

Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan oleh NGO terbabit dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.

Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh NGO terbabit dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut.

Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri itu menangguhkan pengumpulan dana oleh NGO berkenaan di Perlis bermula 12 Oktober lalu sehingga siasatan selesai.