MALAYSIA

SPRM belum putuskan lanjutan tempoh reman bekas PTD - Azam Baki

Asyraf Malik 13/01/2026 | 03:50 MYT
Azam Baki memberikan kemas kini siasatan seorang bekas Panglima Tentera Darat ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan HELP University, hari ini. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum membuat keputusan sekiranya akan memohon lanjutan tempoh reman terhadap seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) yang sedang disiasat berkaitan kes rasuah membabitkan perolehan tender.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih menilai keperluan siasatan lanjut sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan tempoh reman yang berakhir esok.

“Saya tidak dapat memberi pengesahan mengenai lanjutan reman kerana masih berbaki satu hari. Saya perlu menyemak dengan pegawai penyiasat saya.

“SPRM mempunyai tempoh sehingga 14 hari untuk menjalankan siasatan, esok akan masuk hari ketujuh (reman).

“Jadi bergantung, jika mereka (pasukan penyiasat) memerlukan lebih banyak masa, kami akan memohon di mahkamah untuk lanjutan reman,” ujar Azam ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SPRM dan HELP University, di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, status terkini siasatan akan dimaklumkan dalam satu sidang media pada 15 Januari.

Sebelum ini, bekas PTD itu direman tujuh hari manakala kedua-dua isterinya direman enam hari bermula 8 Januari lalu bagi membantu siasatan berkaitan projek dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

SPRM turut menyita 23 utas jam tangan mahal berjenama Rolex di dalam dua bagasi dipercayai milik isteri kedua kepada bekas PTD berkenaan dengan nilai keseluruhan sekitar RM2 juta.




#Tan Sri Azam Baki #SPRM #lanjutan tempoh reman #Panglima Tentera Darat