[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
NATIONAL

SPRM dalam proses dapatkan dokumen berkaitan pencerobohan tanah di Raub

Bernama 10/05/2025 | 09:38 MYT
Sebelum ini operasi yang dijalankan bagi menangani pencerobohan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekebun setelah tanaman mereka dimusnahkan. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan dalam siasatan berhubung pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian di Raub, Pahang.

Ringkasan AI
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mendapatkan dokumen berkaitan dan merekod keterangan saksi berhubung isu tanah yang dijadikan kebun durian secara haram.
  • Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa terkejut selepas dimaklumkan bahawa lebih 10,000 hektar tanah di Raub telah diceroboh sejak beberapa dekad lalu.
  • Operasi yang dijalankan bagi menangani pencerobohan ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekebun setelah tanaman mereka dimusnahkan.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan memaklumkan dokumen berkenaan diperlukan bagi tujuan kajian serta untuk merekod keterangan saksi-saksi.
"SPRM juga telah mengenal pasti beberapa individu yang menjadi peneroka di kawasan terlibat," menurut kenyataan itu.
Terdahulu media melaporkan SPRM telah mempunyai senarai individu yang dipercayai terlibat dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.
Khamis lepas Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa terkejut selepas dimaklumkan 10,521 hektar (26,000 ekar) tanah di Raub telah diceroboh sejak beberapa dekad lepas bagi tujuan penanaman pokok durian.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan yang dijalankan di kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
-- BERNAMA
#SPRM #pencerobohan tanah #pekebun durian #Raub #terkini