SPRM gesa pengadu lapor dakwaan "wang perlindungan" di Pasar Borong Selayang

Menurut Azam, dakwaan yang dibuat secara umum juga tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh tanpa bukti kukuh. - Gambar hiasan/Bernama
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta mana-mana pihak yang mendakwa terpaksa membayar "wang perlindungan" kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang, supaya tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Ringkasan AI
- SPRM meminta individu yang mendakwa membayar "wang perlindungan" di Pasar Borong Selayang untuk membuat laporan rasmi bagi siasatan menyeluruh.
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan dakwaan tanpa laporan rasmi tidak akan menyelesaikan masalah dan berharap individu yang terlibat tampil berhubung dengan SPRM.
- Azam menekankan keperluan bukti kukuh sebelum membuat tuduhan, serta menekankan keadilan terhadap semua pihak dalam isu rasuah di Pasar Borong Selayang.
"Kita sudah ada undang-undang dan mereka juga tertakluk kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, perkara ini telah kita hebahkan berulang kali," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis SPRM-UiTM Inspirasi 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, di sini hari ini.
Terdahulu, Azam yang juga Profesor Adjung UiTM menyampaikan ucaptama bertajuk "Integriti Teras Kepimpinan, Amanah Asas Kejayaan" yang turut dihadiri Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Menurut Azam, dakwaan yang dibuat secara umum juga tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh tanpa bukti kukuh.
"Kalau mereka setakat bercakap dengan media atau media sosial, perkara ini tidak akan selesai. Bila menuduh agensi penguat kuasa secara umum, pada saya itu tidak adil," katanya.
Azam berkata SPRM juga perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk individu atau agensi yang ditohmah menerima rasuah serta pihak didakwa memberi.
Beliau berkata untuk berlaku adil, pihaknya tidak akan membuka kertas siasatan tanpa menerima maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu.
Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.
Pada 7 Dis lepas, sebanyak 843 pendatang tanpa izin termasuk 35 wanita, ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam satu operasi bersepadu di Pasar Borong Selayang, yang turut disertai Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


