SPRM kaji dokumen kes pencerobohan tanah ladang durian di Raub

Isabelle Leong
September 17, 2020 11:42 MYT
Azam berkata dokumen terbabit diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Pejabat Hutan Daerah Raub dan Pejabat Renjer Raub. - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam proses mengkaji dokumen-dokumen berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dikatakan dijadikan ladang durian di Raub secara haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata dokumen yang diteliti pegawainya itu diperoleh daripada Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Pejabat Hutan Daerah Raub dan Pejabat Renjer Raub.
“Kami perlu melihat perkara ini daripada semua sudut. Kami tidak boleh hanya mendengar daripada sebelah pihak sahaja.
“Jika ada yang mengatakan bahawa mereka ceroboh, saya tidak pernah memberikan komen bahawa ia kes pencerobohan atau tidak.
“Kami sedang mengkaji dokumen-dokumen berkaitan isu tanah terbabit,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Dalam pada itu, beliau juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa SPRM telah memanggil 50 pekebun bagi memberikan keterangan.
Sebaliknya, katanya, SPRM hanya memanggil 18 individu untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Azam dilaporkan mengarahkan SPRM Pahang untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Pejabat Daerah dan Tanah Raub serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berhubung pencerobohan tanah kerajaan negeri itu.
Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Pahang mula bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengusaha kebun durian di Raub yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan negeri.
#Azam Baki #dokumen #kaji #ladang durian #qeroboh tanah #Raub #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia