NATIONAL
SPRM, Kementerian Ekonomi tubuh pasukan khas pantau projek negeri, daerah
SPRM dan Kementerian Ekonomi telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek-projek di peringkat negeri dan daerah. - Foto hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kementerian Ekonomi akan menubuhkan satu pasukan khas bagi memantau projek-projek yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di peringkat negeri dan daerah.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan khas ini akan saling berhubung dan melakukan pertukaran maklumat berkaitan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada negeri dan daerah.
Mereka juga akan melaksanakan pemeriksaan mengejut dan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pelaksanaan projek-projek yang diluluskan.
Selain itu, pasukan ini juga bertanggungjawab mengenal pasti kelemahan yang wujud dalam Tatacara Pelaksanaan (SOP) serta menambah baik SOP ke arah pengurusan tata kelola dalam penentuan serta penyaluran bajet, pemantauan dan perlaksanaan projek dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengalu-alukan keseriusan dan keterbukaan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli bagi memastikan ketelusan dalam mengekang ketirisan projek-projek yang diluluskan oleh Kementerian Ekonomi demi kepentingan rakyat.
"Keterbukaan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh YB Menteri amatlah penting dan wajar dijadikan contoh untuk lain-lain Kementerian dan agensi," katanya.