[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

‘SPRM kini punyai kebebasan untuk laksana tanggungjawab, berbeza masa dahulu' – PM Anwar

Firdaus Azil 01/10/2025 | 10:45 MYT
Kerajaan MADANI beri jaminan sokongan penuh kepada SPRM untuk melaksanakan tugas membanteras rasuah dengan mandat dan tekad politik yang jelas. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini mempunyai kebebasan yang lebih besar untuk melaksanakan tanggungjawab hakikinya, berbanding sewaktu di awal penubuhannya dahulu.


Ringkasan AI
  • SPRM kini mempunyai kebebasan lebih besar untuk melaksanakan tanggungjawab berbanding ketika awal penubuhannya yang dikenali sebagai BPR.
  • Anwar Ibrahim dedah peruntukan radikal dahulu membolehkan siasatan terhadap penjawat awam atau menteri walaupun selepas bersara, namun pernah ditentang oleh Jemaah Menteri ketika itu.
  • Kerajaan MADANI beri jaminan sokongan penuh kepada SPRM untuk melaksanakan tugas membanteras rasuah dengan mandat dan tekad politik yang jelas.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada peringkat awal penubuhannya, SPRM yang dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu mempunyai peruntukan perundangan yang radikal, sehingga menimbulkan ‘kegelisahan’ dalam kalangan ahli politik dan menteri ketika itu.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan tersebut membolehkan badan itu menyiasat mana-mana kes rasuah melibatkan penjawat awam atau menteri disiasat biarpun individu tersebut telah bersara untuk tempoh yang lama.

“Ada peruntukan tertentu dahulu, masa itu saya memangku kepada Perdana Menteri, terdapat (cadangan) peruntukan yang agak terlalu radikal pada masa itu, iaitu jika didapati seorang penjawat awam atau tokoh yang pegang public office seperti Menteri itu menggondol kekayaan tidak dapat dikesan …

“… tapi dapat dikesan lima tahun, sepuluh tahun selepas itu, selepas bersara sekalipun, SPRM masih boleh menggeledah dan mendakwa bila diluluskan oleh SPRM, atau BPR (ketika itu).

“Semasa itu kita luluskan, dan saya dapat arahan dari luar negara (Perdana Menteri ketika itu) supaya teliti semula kerana katanya, ramai ahli-ahli Jemaah Menteri yang menentang. Saya rasa aneh kerana dalam mesyuarat, mereka tak menentang (tetapi) dia lapor kepada Perdana Menteri masa itu, Perdana Menteri telefon saya dan beritahu kaji semula, jadi saya terpaksa bentang semula minggu berikutnya,” katanya lagi.

Anwar berkata, keadaan berbeza pada masa kini, dan memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI memberi mandat dan tekad politik untuk membolehkan tugas dan fungsi SPRM dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58, dan Peluncuran Keep Malaysia Clean di Putrajaya, pada Rabu.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, serta barisan Menteri dan pegawai kanan Kerajaan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, SPRM di bawah pimpinan Azam mempunyai potensi untuk menjadikan Malaysia sebagai negara contoh, dalam usaha membanteras rasuah.

“Kita perlu saling ingat-mengingati bahawa kalau mahu mengangkat martabat, harakat, darjat Malaysia sebagai negara hebat, seluruh kekuatan harus kita kerahkan tekad politiknya, jentera kerajaannya dan badan pengenalan kuasanya.

“Kerana SPRM itu (harus) menjadi satu tonggak untuk memantau dan memastikan idealisme itu tidak terhakis dalam satu sistem pimpinan … sebab (apabila) saya melihat orang itu mula runtuh dan rosak, harus digeledah dan tidak akan diambil untuk menyelamatkan bangsa dan negara.

“Ia bukan soal personal, bukan soal dendam kesumat, bukan soal senang dengan kesusahan orang, tetapi niatnya itu kerana kebersihan itu akan menyelamatkan negara, saya lihat dari segi itu.

“Dan saya percaya saudara Azam dan rakan dalam SPRM mungkin akan menjadikan Malaysia ni sebagai contoh satu badan penguatkuasa badan pemantau, badan pembersih, keep Malaysia clean with MACC that is profound, effective courageous to bring back the esteem image of Malaysia as a great nation,” katanya lagi.









#Anwar Ibrahim #SPRM #peringkat awal penubuhannya #kes rasuah #terkini