KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum di Pelabuhan Tanjung Langsat, Johor, telah diterima dan diputuskan untuk disiasat oleh Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM).
Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri R. Jeyenderan, berkata beliau berpuas hati dengan maklum balas yang diterima daripada SPRM menerusi e-mel pada pertengahan Jun lalu yang memaklumkan siasatan terhadap kes itu masih berjalan.
Katanya, sepanjang tempoh siasatan, pihaknya memberikan kerjasama sepenuhnya dengan menghadiri setiap sesi pertemuan selain mengemukakan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan oleh pegawai penyiasat.
"Kami menghormati SPRM dan proses siasatan yang sedang dijalankan. Kami hanya ingin mendapatkan penjelasan mengenai status terkini siasatan dan sama ada terdapat sebarang dokumen atau maklumat tambahan yang diperlukan daripada pihak kami," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada awal Jun lalu, media melaporkan kebimbangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berhubung dakwaan percanggahan dokumen kargo petroleum yang didakwa berpotensi membuka ruang kepada pelbagai bentuk salah laku.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim, dilaporkan berkata SPRM wajar memberi perhatian segera terhadap dakwaan berkenaan sekiranya terdapat unsur rasuah, salah guna kuasa atau pemalsuan dokumen.
Dalam pada itu, Jeyenderan memaklumkan kehadirannya ke ibu pejabat SPRM hari ini bukan bertujuan memberi tekanan kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai siasatan yang telah berlangsung hampir tiga bulan.
Mengulas lanjut, katanya, sekiranya dakwaan itu disahkan hasil siasatan, ia bukan sahaja membabitkan sebuah syarikat, malah berpotensi memberi implikasi lebih meluas terhadap pematuhan kawal selia, kutipan hasil kerajaan serta keyakinan terhadap industri maritim dan petroleum negara.
Beliau berkata dokumen asal berkaitan kes itu turut diserahkan kepada SPRM atas nasihat pegawai penyiasat yang memaklumkan dokumen berkenaan lebih sesuai dikemukakan dalam bentuk asal berbanding melalui e-mel.
Katanya, pegawai SPRM yang menerima dokumen tersebut turut memaklumkan pihaknya akan menghubungi pengadu sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau tindakan lanjut.