MALAYSIA
SPRM Melaka reman tujuh suspek tuntutan palsu RM140,000

Mereka dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan dan minum yang melibatkan jumlah hampir RM140,000. - Ihsan SPRM.
AYER KEROH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka menahan reman enam pengurus syarikat dan seorang pegawai penerangan pihak berkuasa tempatan di negeri itu.
Mereka dipercayai terlibat dalam tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan dan minum yang melibatkan jumlah hampir RM140,000.
Majistret N. Sivashangari membenarkan kesemua suspek direman selama lima hari sehingga 18 Ogos 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 50-an ditahan di Pejabat SPRM Melaka sekitar jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan."Berdasarkan maklumat awal yang diterima, terdapat beberapa syarikat yang menerima kerja pembekalan makan dan minum telah mengemukakan tuntutan palsu kepada Jabatan Penerangan Negeri Melaka kononnya bagi program diadakan sekitar tahun 2024.
"Syarikat-syarikat ini disyaki telah mengemukakan 81 invois yang disyaki mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan hampir RM140,000 sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan," katanya.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
SPRM menegaskan siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti semua pihak yang terlibat serta memastikan tiada penyalahgunaan dana awam berlaku.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami