MALAYSIA
SPRM mohon wang RM169 juta milik Ismail Sabri dilucutkan

Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah memfailkan permohonan untuk melucutkan lebih RM169 juta wang tunai milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan Malaysia di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Ringkasan AI
- SPRM memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen untuk melucutkan hak lebih RM169 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
- Permohonan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 dan berkait dengan siasatan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama, serta melibatkan siasatan berhubung dana promosi program Keluarga Malaysia semasa pentadbiran Ismail Sabri.
- Aset yang ingin dilucutkan termasuk wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dan tempatan serta jongkong emas, dan siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Akta SPRM.
Berdasarkan notis yang difailkan, SPRM selaku pemohon menamakan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, 58, dan Ismail Sabri, 65, masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Pemohon membuat perkara itu mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM 2009 selepas berpuas hati bahawa wang-wang yang disimpan oleh Mohammad Anuar adalah milik Ismail Sabri.
Ia berkait dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 36(2) akta sama.
Pemohon turut meminta perintah-perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada 25 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua aset termasuk wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Ismail Sabri bakal dilucutkan hak.
Sebelum ini, Ismail Sabri telah dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai pengisytiharan harta.
Ahli Parlimen Bera itu juga berdepan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami