MALAYSIA

SPRM mulakan siasatan dakwaan transaksi wang akaun pegawai kanan tentera

Astro Awani 23/12/2025 | 05:45 MYT
Fokus siasatan kini tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) tentera darat.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum dakwaan seorang aktivis semalam berhubung aliran masuk wang ke dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera.


Ringkasan AI
  • SPRM mula siasat aliran wang ke akaun pegawai kanan tentera, fokus terhadap projek tentera darat dari 2023 hingga kini, termasuk tender terbuka dan perolehan di bawah PTJ tentera darat.
  • Sumber SPRM nyatakan siasatan akan teliti transaksi kewangan mencurigakan individu yang dinamakan dalam dakwaan, sementara Ketua Pesuruhjaya SPRM pastikan siasatan dilakukan secara bebas dan profesional.
  • MINDEF serius ambil tindakan terhadap dakwaan pengubahan wang haram pegawai atasan tentera, menegaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan.


Menurut sumber, pegawai SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) kira-kira jam 11.30 pagi hari ini, bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang melibatkan tentera darat dari tahun 2023 hingga kini.

Sumber memaklumkan bahawa fokus siasatan tertumpu kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) tentera darat.

"Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut juga akan diteliti," kata sumber.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan seorang pegawai kanan tentera.

Beliau menegaskan bahawa semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Pada Isnin, MINDEF dalam kenyataan menegaskan pihaknya memberi perhatian serius terhadap dakwaan pengubahan wang haram yang melibatkan seorang pegawai atasan tentera yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang akan dilaksana dan dijalankan, serta menegaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan.

Terdahulu media melaporkan, seorang aktivis mendakwa aliran masuk tunai yang besar dikesan dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.

Dia mendakwa audit forensik terhadap dokumen yang diterimanya mendedahkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.



#Azam Baki #Pegawai kanan MINDEF #Siasatan rasuah tentera #terkini #SPRM #tentera darat #Kementerian Pertahanan