ALOR SETAR: Enam pihak telah dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.

Menurut Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap, pihaknya telah mengambil tindakan awal seperti melakukan sesi temu bual dengan pihak berkaitan.

Menurut beliau, bagaimanapun SPRM tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

"Pihak kami ada buat tindakan awal buat interview (temu bual) dan sebagainya tapi kita punya hasil belum dapat dimaklumkan… ada lima hingga enam pihak (dipanggil) tapi belum siap lagi sepenuhnya," katanya.

BACA: Jangan buat kesimpulan awal, tuduhan melulu mengenai isu kecurian REE - Sanusi

Mengulas desakan beberapa pihak supaya SPRM mendedahkan hasil siasatan kecurian REE itu, Shaharom memaklumkan, pihaknya tidak dapat berbuat sedemikian disebabkan terikat dengan akta dan undang-undang berkaitan.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, SPRM telah menubuhkan satu pasukan petugas bersama kerajaan negeri untuk mengendalikan isu berbangkit di Kedah termasuk berkaitan REE.

Menurut Shaharom, pasukan itu memiliki ahli tetap termasuk SPRM Kedah sendiri dan Jabatan Intergriti dan Tadbir Urus (JITU) Kedah yang akan bekerjasama untuk ambil tindakan sewajarnya.

Katanya, jawatankuasa terbabit akan memanggil pihak-pihak berkenaan untuk membincangkan isu berbangkit, sekali gus mendapatkan maklum balas daripada agensi berkaitan.

Beliau berkata Jawatankuasa Pemantauan REE Negeri Kedah juga telah mengadakan satu mesyuarat pada minggu lalu bagi membincangkan perkara berkaitan REE dan maklum balas daripada setiap agensi yang mungkin terlibat dalam urusan itu akan diperoleh pada 20 Feb depan.

"Apabila timbul isu REE ini, SPRM telah mencadangkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) untuk mengaktifkan jawatankuasa itu bersama Jabatan Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dengan memanggil pihak agensi yang berkenaan untuk tindakan dan perbincangan.

"Antara agensi yang telah dikenal pasti itu adalah Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Alam Sekitar, Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan mungkin akan ada beberapa tambahan agensi lain lagi selepas ini," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis persaraannya di perkarangan Pejabat SPRM Kedah, pada Selasa.

Shaharom yang menyertai SPRM pada 1992 pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Timbalan Pengarah SPRM Perak, Pengarah SPRM Negeri Sembilan dan Ketua Pegawai Integriti Prasarana Malaysia Bhd.

Antara kes berprofil tinggi yang pernah dikendalikannya sepanjang berkhidmat termasuklah Ops Water Sabah serta kes penipuan projek kolam ternakan udang di Perak.