SPRM panggil Zahid bantu siasatan dua kes berasingan

Hakim Rahman
Julai 1, 2018 10:32 MYT
Ahmad Zahid dikehendaki hadir bagi membantu siasatan SPRM melibatkan dua kes berasingan. Gambar fail
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipanggil bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan dua kes berasingan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya telah menghubungi Ahmad Zahid untuk hadir ke pejabat SPRM pada Isnin.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid telah dihubungi oleh SPRM pada 27 Jun lalu meminta beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi esok untuk dirakam percakapannya mengikut Akta SPRM 2009," katanya dalam satu kenyataan.
BACA: SPRM siasat penyelewengan bekas menteri UMNO
BACA: Zahid akui akan beri keterangan di SPRM esok
BACA: Zahid Hamidi masih boleh ke luar negara, tidak disenarai hitam
Beliau bagaimanapun tidak memberikan maklumat lanjut berhubung siasatan kes yang dilakukan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.
Astro AWANI difahamkan Ahmad Zahid dipanggil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan derma RM2.6 bilion yang dikatakan diterima bekas perdana menteri selain siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan yang pernah diterajuinya bernilai kira-kira RM900,000.
Ahmad Zahid sebelum ini memaklumkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung yayasan milik keluarganya yang didakwa terlibat dalam amal jariah seperti pembinaan masjid dan sebagainya.
#Akta SPRM 2009 #Azam Baki #Rasuah #siasatan #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #Timbalan Ketua Pesuruhjaya #Timbalan Perdana Menteri #UMNO #Zahid Hamidi