MALAYSIA
SPRM Perlis tahan dua lelaki bantu siasatan kes tuntutan palsu lebih RM2 juta
Dua lelaki berusia 43 dan 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM pada kira-kira 4.10 petang. - Foto hiasan
KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis hari ini menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes berhubung tuntutan palsu membabitkan peruntukan lebih RM2 juta pada 2022.
Dua lelaki berusia 43 dan 50 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini pada kira-kira 4.10 petang.
Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai menggunakan lima syarikat pembinaan bagi projek penyelenggaraan, penambahbaikan dan membaik pulih fasiliti lima sekolah menengah di Perlis melibatkan peruntukan RM2.459 juta.
"Bagaimanapun dua individu ini dilepaskan dengan jaminan SPRM RM10,000 dengan seorang penjamin pada 9.30 malam ini," menurut sumber berkenaan.
Kedua-dua individu pernah ditangkap SPRM Selangor pada 2023 berkaitan projek yang sama di negeri itu dan telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan dua lelaki tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA