[TERKINI] Sistem Pendidikan Malaysia Berubah Bermula 2027: Darjah Satu Umur 6, Penilaian Murid Tahun 4 & Tingkatan 3 – Ini Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu
MALAYSIA

SPRM rakam keterangan 9 individu berhubung dakwaan berkaitan IJM

Bernama 20/01/2026 | 07:50 MYT
Azam berkata kesemua individu terbabit hadir ke pejabat SPRM kira-kira 10 pagi tadi dan proses pengambilan keterangan dijangka berlangsung sepanjang hari ini. - Gambar fail
NILAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakam keterangan sembilan individu termasuk dua pihak berkepentingan hari ini bagi membantu siasatan dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd (IJM) berhubung skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.


Ringkasan AI
  • SPRM merakam keterangan sembilan individu, termasuk dua pihak berkepentingan, bagi siasatan dakwaan hampir RM2.5 bilion skim pengubahan wang haram melibatkan IJM Corporation Bhd.
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan proses pengambilan keterangan individu terbabit berlangsung sepanjang hari tanpa sebarang tangkapan sehingga kini.
  • Azam menegaskan siasatan masih awal, memerlukan masa untuk kaji dokumen serta meminta semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan kes berkenaan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kesemua individu terbabit hadir ke pejabat SPRM kira-kira 10 pagi tadi dan proses pengambilan keterangan dijangka berlangsung sepanjang hari ini.

"Kami baru memulakan siasatan semalam (dan) masih awal untuk saya memberi sebarang komen berhubung dengan penemuan. Sekiranya ada kes (terlibat) kita akan teruskan siasatan dengan lebih lanjut.

"Kita sudah memanggil kedua-dua pihak dan mereka datang ke pejabat beri kerjasama (namun) tidak akan ada tangkapan setakat ini," katanya.

Azam berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Asas (PLA) Akademi SPRM (MACA) yang turut dihadiri Pengarah Kanan MACA Datuk Mohd Hafaz Nazar di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan masih terlalu awal dan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti perkara berkaitan termasuk dokumen serta mendapatkan maklumat lengkap daripada semua pihak disyaki terlibat.

Beliau turut menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau persepsi berhubung kes itu kerana dikhuatiri menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Bagi kami masa (untuk siasat). Kes berkenaan melibatkan isu korporat, jadi kita perlu masa untuk mengkaji dokumen dan sebagainya. Jangan buat spekulasi (kerana) terlalu banyak yang keluar sama ada di pelbagai blog, membuat dakwaan tidak tepat dan kita perlu siasat dulu perkara ini," katanya.

Semalam, SPRM memaklumkan sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM itu dengan sumber dalaman memberitahu masing-masing seorang anggota pengurusan tertinggi bergelar Tan Sri dan penasihat dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.

-- BERNAMA



#SPRM #IJM Corporation Bhd #IJM #Azam Baki