[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

SPRM rakam keterangan Jeffrey Kitingan berhubung video pendedahan

Bernama 01/10/2025 | 13:30 MYT
Azam berkata setakat ini lebih 10 keterangan saksi sudah diambil, termasuk daripada Jeffrey dan beberapa pegawainya. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan keterangan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan bagi membantu siasatan berkaitan pendedahan video terbaharu oleh ahli perniagaan Albert Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini lebih 10 keterangan saksi sudah diambil, termasuk daripada Jeffrey dan beberapa pegawainya.

"Albert Tei juga akan dihubungi untuk diambil keterangan. Selain itu, saksi lain akan terus dipanggil. Saya dimaklumkan ada video baharu yang disiarkan portal tertentu dan ia akan diteliti berdasarkan keterangan yang diperoleh," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Puspanita Puri, di sini hari ini.

Pada 24 Sept lepas, SPRM mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung pendedahan video berkenaan yang disiarkan dalam satu portal dalam talian.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata SPRM Sabah diarahkan memperluas siasatan berdasarkan maklumat baharu dengan memanggil kedua-dua individu berkenaan bagi melengkapkan siasatan.

-- BERNAMA

#SPRM #pendedahaan video #kertas siasatan #portal dalam talian