MALAYSIA

SPRM rekod nilai sitaan, kompaun, pulih aset RM8.4 bilion

Sinar Harian 23/12/2025 | 06:45 MYT
SPRM merekodkan nilai sitaan, kompaun, lucut hak dan pemulihan aset mencecah RM8.4 bilion dalam tempoh 11 bulan tahun ini. - Gambar fail
SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan nilai sitaan, kompaun, lucut hak dan pemulihan aset mencecah RM8.4 bilion dalam tempoh 11 bulan tahun ini.


Ringkasan AI
  • Kompaun, sitaan, lucut hak, dan pemulihan aset oleh SPRM mencecah RM8.4 bilion dalam 11 bulan terkini, dengan sitaan aset tertinggi adalah RM6.82 bilion di bawah Akta AMLATFPUAA 2001.
  • SPRM telah membekukan aset bernilai RM36.14 juta di bawah AMLATFPUAA 2001, serta melucuthakkan aset berjumlah RM7.49 juta melalui pelbagai peruntukan undang-undang.
  • Prestasi SPRM mencerminkan pendekatan tegas dalam tangkapan, pendakwaan, dan pemulihan aset sebagai strategi utama memerangi rasuah dan jenayah kewangan.


SPRM dalam kenyataan berkata, statistik itu direkodkan setakat November.

Menurut kenyataan itu, daripada jumlah itu, sitaan aset mencatat nilai tertinggi melibatkan RM6.82 bilion iaitu sebanyak RM6.26 bilion dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA), manakala RM566.77 juta disita mengikut Akta SPRM 2009.

"SPRM memaklumkan, aset bernilai RM36.14 juta turut dibekukan di bawah AMLATFPUAA 2001.
"Selain itu tindakan itu turut melucuthakkan aset berjumlah RM7.49 juta melalui pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Akta SPRM 2009 dan Kanun Tatacara Jenayah," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, bagi tindakan kompaun pula, SPRM berjaya mengutip RM49.58 juta, manakala kaedah lain pemulihan aset menyumbang nilai besar iaitu RM1.49 bilion.

Berkenaan pelaksanaan statistik pengoperasian dalam tempoh itu, kata SPRM, sebanyak 6,114 maklumat diterima.

"Susulan itu, 966 kertas siasatan dibuka selain 1,128 tangkapan dilakukan seterusnya membawa kepada 445 pertuduhan dan 189 sabitan di mahkamah," kata kenyataan itu.

Tegas SPRM, berdasarkan analisa tangkapan menunjukkan sektor swasta mencatat jumlah tertinggi dengan 504 individu, diikuti penjawat awam (423 orang), orang awam (163), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seramai 34 orang dan empat ahli politik.

“Mengikut jantina, lelaki mendominasi tangkapan dengan 904 orang, berbanding 224 wanita,” kata kenyataan itu.

Menurut SPRM lagi, antara kes utama yang disiasat SPRM ialah kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Operasi lain ialah Op Rentas, Op Tiger, Op Metal, Op Grip, Op Karen, Op Sky dan Op Sohor.

"Selain itu ialah Op Kembali membabitkan tindakan siasatan video perbualan seorang wanita dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dan ahli perniagaan Albert Tei yangmembuat tohmahan rasuah melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, prestasi ini mencerminkan pendekatan tegas SPRM bukan sahaja dalam aspek tangkapan dan pendakwaan, malah menumpukan pemulihan aset sebagai strategi utama memerangi rasuah dan jenayah kewangan. -- Sinar Harian







#SPRM #nilai sitaan #pemulihan aset #pengubahan wang haram