[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

SPRM reman dua anggota polis didakwa minta rasuah RM6,000

Bernama 29/04/2025 | 12:45 MYT
Dua anggota polis direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan kenderaan di sebuah stesen minyak di Seremban. - Foto hiasan/BERNAMA
SEREMBAN: Dua anggota polis direman lima hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah kira-kira RM6,000 daripada seorang pemilik syarikat yang ditahan dalam satu pemeriksaan kenderaan di sebuah stesen minyak di sini.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan antara 1 tengah hari hingga 3 petang semalam di dua lokasi berbeza di sekitar bandar raya ini.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Ahad lepas ketika mereka sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan individu tersebut.
"Ketika pemeriksaan kedua-dua suspek mengambil kad pengenalan individu terbabit dan meminta wang rasuah sekitar RM6,000 jika ingin kad pengenalannya dipulangkan," katanya
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
#SPRM #reman #anggota polis #Rasuah