SPRM sahkan buka fail siasatan babitkan Petronas, syarikat antarabangsa

Ridauddin Daud
Mei 26, 2023 07:55 MYT
SPRM turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu tersebut untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM. -Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka fail siasatan terhadap isu rasuah melibatkan projek Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa.
Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, SPRM berkata Petronas memberi kerjasama penuh dalam siasatan melibatkan projek bernilai RM399 juta di Sarawak itu.
“Setakat ini, SPRM telah menemukan beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung isu tersebut.
“Sehubungan itu, Suruhanjaya ini telah mencadangkan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai langkah-langkah pencegahan,” menurut kenyataan tersebut.
SPRM turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu tersebut untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM.
Menurut kenyataan itu lagi, siasatan selanjutnya akan dilakukan di bawah Akta SPRM 2009.
#Petronas #Sarawak #syarikat antarabangsa #SPRM