Skip to main content

Malaysia

SPRM siasat pemilikan hartanah mewah RM59 juta terkait dana 1MDB

Putrajaya , 9 Julai 2026.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia , Datuk Seri Abd Halim Aman pada sidang media khas di Bilik Sidang Media, Aras 3, Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya .Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata aduan berhubung perkara itu diterima pada 15 Jun lalu sebelum kertas siasatan dibuka sehari kemudian. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung pemilikan dan pemindahan aset hartanah mewah di luar negara bernilai kira-kira AS$13 juta (RM59 juta) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti haram serta dana 1MDB.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata aduan berhubung perkara itu diterima pada 15 Jun lalu sebelum kertas siasatan dibuka sehari kemudian.

Beliau berkata siasatan tertumpu kepada penelitian sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan berkaitan pemilikan aset berkenaan.

"SPRM sedang bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi penguat kuasa dalam dan luar negara, termasuk FBI, bagi melengkapkan siasatan," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Abdul Halim berkata langkah seterusnya melibatkan siasatan terhadap sumber kewangan yang digunakan bagi pembelian hartanah mewah itu, selain menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"SPRM juga akan melaksanakan analisis kewangan bagi mengenal pasti aliran transaksi atau penerimaan dana. Sekiranya siasatan menjurus kepada dana 1MDB, fokus akan diberikan kepada usaha mendapatkan semula aset mengikut peruntukan AMLA," katanya.

Beliau berkata siasatan masih berjalan dan SPRM akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

Abdul Halim turut menegaskan mana-mana individu yang mempunyai kaitan dengan siasatan akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Must Watch Video

Advertisement