[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

SPRM tahan 4 pengusaha kebun musang king di Raub, siasat pengubahan wang haram

Astro Awani 30/09/2025 | 06:40 MYT
Semua suspek direman empat hari bermula 29 September sehingga 3 Oktober. - Gambar hiasan
KUANTAN: Lima peneroka haram, termasuk seorang pekerja ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan kerana disyaki mengusahakan kebun musang king di tanah hutan simpan dan tanah kerajaan tanpa kebenaran.


Ringkasan AI
  • Lima individu termasuk seorang pekerja ditahan kerana disyaki mengusahakan kebun durian musang king secara haram di tanah hutan simpan dan tanah kerajaan, serta terlibat dalam pengubahan wang haram hasil aktiviti tersebut.
  • SPRM percaya empat daripada suspek terlibat dalam urus niaga haram secara turun-temurun dan enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd sebagai pemegang pajakan sah.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda hasil haram atau RM5 juta; SPRM tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan.


Suspek juga disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram dengan memperoleh, menerima, memiliki, memindah dan menggunakan wang daripada aktiviti hasil tanaman pokok durian.

Menurut sumber, semua suspek berusia 40 hingga 60-an itu ditahan semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Raub semalam.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 hingga 2025 dan mereka memperoleh keuntungan daripada aktiviti haram ini sehingga mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Tambahnya, SPRM percaya empat pekebun terbabit terlibat dalam urus niaga haram itu secara turun-temurun.

"Mereka juga didapati enggan menyertai program pemutihan yang ditawarkan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai pemegang pajakan tanah sah oleh kerajaan negeri Pahang," katanya.

Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula 29 September sehingga 3 Oktober terhadap kesemua suspek selepas permohonan dibuat oleh SPRM.

Susulan Operasi Sekat Durian Haram bermula 25 April 2024, SPRM Pahang menjalankan operasi bersepadu bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang dari 2 hingga 19 September.

Operasi tersebut berjaya mengenal pasti 33 lokasi kebun haram di kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan.

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) AMLATFPUAA 2001.

"Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, bagi sesiapa yang disabitkan melakukan pengubahan wang haram," katanya.

Mohd Shukor juga tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan bagi membantu siasatan.




#SPRM #Musang King #Raub #pengubahan wang haram