[TERKINI] Titah Adendum: Rayuan Peguam Negara Ditolak – Semakan Kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi KL
MALAYSIA

SPRM tahan anggota pasukan beruniform terlibat dalam tuntutan palsu

Yasmin Natasha 12/08/2025 | 10:15 MYT
Suspek dipercayai berkomplot dengan seorang kerani syarikat pelancongan yang telah ditahan reman pada 16 Julai lalu. - Foto SPRM
SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes mengemukakan butir matan palsu membabitkan tuntutan kira-kira RM55,000.


Ringkasan AI
  • SPRM menahan seorang lelaki berusia 20-an kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan bayaran kad kredit syarikat berjumlah RM55,000 untuk tempahan hotel atas kepentingan peribadi.
  • Suspek merupakan anggota pasukan beruniform, dipercayai berkomplot dengan seorang kerani syarikat pelancongan yang telah ditahan reman pada 16 Julai lalu.
  • Suspek direman selama empat hari sehingga 15 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman berat bagi kesalahan mengemukakan butiran palsu dalam dokumen rasmi.


Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan, di sini.

"SPRM Negeri Sembilan menahan seorang lagi individu kerana disyaki bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan bayaran kad kredit syarikat bagi tempahan hotel berjumlah kira-kira RM55,000 untuk kepentingan peribadi.

"Siasatan awal mendapati suspek yang juga seorang anggota pasukan beruniform disyaki bersuhabat melakukan perbuatan itu bersama seorang kerani wanita sebuah syarikat pelancongan di ibu negara yang ditahan reman pada 16 Julai lalu," katanya, hari ini.

Jelasnya, perintah reman selama empat hari sehingga 15 Ogos dikeluarkan terhadap suspek oleh Majistret Saiful Sayoti selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah, di sini pagi tadi.

Tambahnya, kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari Mac 2023 hingga Februari 2024 dengan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu bagi tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi, mengesahkan penahanan lelaki berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


#butir matan palsu #SPRM Negeri Sembilan #Tahanan reman #bayaran kad kredit syarikat