Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran sebuah daerah bergelar Datuk kerana dipercayai terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Suspek dipercayai telah melakukan kesalahan-kesalahan tersebut ketika memegang jawatan pegawai daerah dan YDP perbandaran sejak September 2009 sehingga Ogos 2016.

Suspek berusia 63 tahun dan telah bersara itu ditahan di kediamannya di Seremban kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Turut ditahan dalam operasi yang dilancarkan SPRM itu, tiga kontraktor yang disyaki telah dianugerahkan beberapa projek melibatkan pejabat daerah dan Majlis Perbandaran di mana suspek pernah bertugas.

Sumber memberitahu, menurut pengumpulan maklumat awal oleh pasukan siasatan SPRM, suspek dipercayai pernah bercuti bersama kontraktor-kontraktor tersebut di luar negara pada bulan September 2015.

Tambahnya, maklumat yang diperolehi menunjukkan pakej percutian suspek yang juga termasuk untuk bermain golf di Medan, Indonesia dan ditaja oleh kontraktor-kontraktor tersebut.

Difahamkan, sebuah kenderaan Toyota Camry juga telah dibeli oleh kontraktor-kontraktor tersebut untuk kegunaannya.

Menurut bukti yang diperolehi, pembelian tersebut tidak dibentangkan di dalam mesyuarat bajet dan perolehan.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata SPRM sedang mengenal pasti beberapa orang lagi untuk mmebantu siasatan.

Beliau berkata, setakat ini SPRM telah merampas dokumen-dokumen daripada kesemua suspek yang dipercayai berkaitan dengan siasatan SPRM.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.