MALAYSIA
SPRM tahan dua individu termasuk ADUN Sabah, disyaki terima rasuah RM200,000

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua individu bergelar Datuk kerana disyaki terlibat dalam meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM200,000, melibatkan isu permohonan lesen cari gali di negeri ini.
SABAH : Dua individu termasuk seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri itu.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki bergelar 'Datuk' berusia lingkungan 30 dan 60-an itu ditahan kira-kira jam 9.45 dan 11.50 pagi.
Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan juga di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Kedua-dua mereka disyaki melakukan perbuatan itu sekitar tahun 2023 dan 2024.Tambah sumber, siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali di negeri ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Tambahnya, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin.
Manakala seorang lagi suspek iaitu ADUN turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami