MALAYSIA

SPRM tahan enam pemilik syarikat, beku akaun RM7.2 juta kes e-sisa - Azam

Bernama 22/01/2026 | 11:20 MYT
Azam berkata pihaknya kini dalam proses menahan dua lagi pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam kesalahan sama, dengan tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman enam pemilik syarikat yang dikesan terbabit dalam kegiatan penyeludupan sisa elektronik (e-sisa) ke negara ini serta membekukan 14 akaun bernilai RM7.2 juta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya kini dalam proses menahan dua lagi pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam kesalahan sama, dengan tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat.

"Setakat ini, tujuh syarikat yang beroperasi di Selangor dikenal pasti mendalangi kegiatan kemasukan e-sisa ke negara ini. Dua lagi pemilik syarikat sedang dikesan untuk tindakan lanjut.

"SPRM turut menjalankan siasatan terhadap beberapa syarikat di Negeri Sembilan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti serupa," katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur, di sini hari ini.

Azam berkata siasatan awal mendapati kegiatan berkenaan telah dijalankan sejak kira-kira lima tahun lepas, dengan pelbagai kaedah digunakan bagi menyeludup masuk barangan terlarang itu ke negara ini.

Azam berkata SPRM tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada pihak kastam memandangkan sindiket penyeludupan sentiasa mencari jalan untuk membawa masuk sisa pembuangan elektronik, termasuk mencampurkan sisa berkenaan bersama kontena barangan lain.

"Undang-undang negara dengan jelas tidak membenarkan kemasukan e-sisa. SPRM akan membuat pengiraan keuntungan yang diperoleh syarikat terlibat berdasarkan tempoh aktiviti dijalankan bagi tindakan susulan," katanya.

Beliau berkata lebih 3,000 kontena didaratkan di Pelabuhan Klang setiap bulan, sekali gus menjadikan tugas penguatkuasaan lebih mencabar.

Sehubungan itu, Azam berkata SPRM mengambil pendekatan baharu dengan melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu, melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar dengan memberi tumpuan kepada aspek rasuah serta ketirisan wang kerajaan.

"Isu e-sisa bukan isu kecil. Ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan Malaysia tidak dijadikan lokasi longgokan sisa elektronik dari luar negara yang boleh mencemarkan alam sekitar," katanya.

Semalam, media melaporkan SPRM akan memperhebat siasatan berhubung kegiatan pengimportan sisa elektronik secara haram, susulan risikan yang mendedahkan antara 2,000 hingga 3,000 kontena e-sisa diseludup masuk ke negara ini melalui pelabuhan utama.

-- BERNAMA

#E-sisa #SPRM #penyeludupan e-sisa #Azam Baki