SPRM tahan pegawai kanan kementerian terima rasuah cecah RM20 juta

Norsiah Mohd Ramli
Mac 19, 2016 10:04 MYT
Menurut SPRM, sindiket tersebut dipercayai digerakkan secara bersama sehingga menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM100 juta. - Gambar fail
Setiausaha Bahagian sebuah kementerian dipercayai menerima wang suapan mencecah RM20 juta selepas disyaki mendalangi sindiket penyelewengan dana kerajaan.
Pegawai Kanan itu merupakan antara sembilan individu termasuk seorang wanita yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Op Tiris semalam.
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki, berkata, sindiket tersebut dipercayai digerakkan secara bersama sehingga menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM100 juta.
"Modus operandi sindiket ini ialah dengan mengarahkan pihak kewangan daripada sebuah agensi di bawah Kementerian itu membuat bayaran kepada tidak kurang daripada 14 syarikat yang dikendalikan oleh ahli-ahli sindiket ini bagi program-program yang diwujudkan walhal kerja-kerja tidak pernah dilaksanakan," katanya dalam satu sidang media berkaitan operasi khas perolehan kerajaan di sini, hari ini.
Azam juga menjelaskan, tiada tuntutan dikemukakan oleh syarikat terlibat kepada kementerian itu.
Bagaimanapun, Pegawai Kanan terbabit kononnya memastikan bayaran dibuat kepada syarikat berkenaan.
Tambahnya, suapan yang diterima itu, termasuk rumah, kereta mewah, pembayaran insurans dan unit amanah bernilai jutaan ringgit, penggunaan kemudahan kad kredit tambahan dan barangan berjenama.
Semua ahli sindiket berusia antara 28 hingga 56 tahun.
Mereka direman tujuh hari bermula Jumaat.
Siasatan dilakukan mengikut seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan kesalahan pengubahan wang haram mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
#Azam Baki #Op Tiris #pegawai kanan kementerian #penjawat awam wang suapan #setiausaha kementerian terima rasuah #SPRM