SPRM tahan pegawai khas bekas menteri disyaki dalang atur projek

Bernama
April 29, 2019 11:34 MYT
SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya esok (Selasa). - Gambar fail
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang lelaki yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas menteri Kabinet, kerana disyaki menjadi dalang mengatur projek-projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.
Sumber SPRM memberitahu lelaki bergelar Datuk berumur 50 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah hari Isnin di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini ketika hadir memberi keterangan.
Menurutnya siasatan awal mendapati suspek dikatakan menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian, termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta sekitar tahun 2017.
Sumber itu berkata SPRM juga sedang berusaha mengesan beberapa lagi individu dan syarikat pembekal di seluruh negara yang disyaki terlibat dengan individu itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya esok (Selasa).
-- BERNAMA
#Azam Baki #bekas pegawai khas #menteri Kabinet #pembekalan peralatan #Rasuah #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #syarikat pembekal