MALAYSIA

SPRM tahan pegawai polis, minta rasuah dari warga asing

Astro Awani 05/08/2025 | 09:28 MYT
Seorang pegawai polis direman lima hari sehingga 9 Ogos 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan pada pagi Isnin. - Foto SPRM
KUANTAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang pegawai polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM3,500 daripada seorang lelaki warga asing sebagai balasan untuk mempercepatkan proses siasatan melibatkan satu kes pergaduhan.


Ringkasan AI
  • Pegawai polis direman lima hari: Seorang pegawai polis berusia 40-an ditahan SPRM kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM3,500 daripada warga asing bagi mempercepatkan siasatan kes pergaduhan.
  • Modus operandi melibatkan dua transaksi: Suspek didakwa meminta RM1,000 sebagai dorongan untuk menangkap abang ipar pengadu, kemudian meminta tambahan RM3,000 dan menerima RM2,500 untuk mempercepatkan siasatan.
  • Siasatan bawah Akta SPRM 2009: Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman bagi kesalahan meminta atau menerima suapan sebagai dorongan berkaitan tugas rasmi.


Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Ogos 2025 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan pada pagi Isnin.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an yang berkhidmat di ibu pejabat polis daerah di negeri ini telah ditahan di tempat kerjanya sekitar jam 5 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati, suspek telah meminta wang kira-kira RM1,000 daripada seorang lelaki warga asing yang bergaduh dengan abang iparnya sebelum membuat satu laporan polis pada awal Julai lalu.

"Wang rasuah berkenaan sebagai dorongan untuk menangkap abang ipar lelaki terbabit yang kini berada dalam tahanan polis dan bagi mempercepat proses siasatan untuk diserahkan kepada pihak imigresen bagi tujuan pengusiran balik ke negara asal," katanya.

Katanya, setelah menerima wang kira-kira RM1,000, suspek kemudian meminta lagi wang kira-kira RM3,000 daripada pengadu sebelum bersetuju menerima wang tunai kira-kira RM2,500 bagi mempercepat proses siasatan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.



#SPRM #pegawai polis rasuah #pergaduhan warga asing #minta wang suapan