[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
MALAYSIA

SPRM temukan gedung arak mewah dalam kediaman Tan Sri

Astro Awani 30/05/2025 | 23:00 MYT
Sebuah stor di salah sebuah kediaman yang digunakan untuk menyimpan minuman keras mewah dianggarkan bernilai RM3 juta (kiri) serta seekor kuda yang ditemukan susulan tindakan yang dijalankan SPRM.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemukan sebuah gedung simpanan arak mewah dalam serbuan ke atas sebuah daripada enam kediaman milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri, yang sedang disiasat berhubung kes tuntutan palsu dan penyalahgunaan dana bon sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Menurut sumber, koleksi minuman keras berjenama itu disimpan dalam sebuah ‘chiller’ khas di tingkat bawah sebuah kondominium mewah yang turut dilengkapi bar alkohol persendirian.

Nilai keseluruhan arak berkenaan dianggarkan mencecah RM3 juta.

Dalam serbuan itu, SPRM turut menyita enam unit kediaman mewah dan sebidang tanah lot bernilai sekitar RM12 juta.

Pasukan penyiasat juga menemui seekor kuda bernilai ratusan ribu ringgit yang dipercayai dibeli menggunakan dana sukuk.

“SPRM telah memanggil Tan Sri berkenaan dan isterinya untuk dirakam keterangan, namun hanya isteri beliau hadir manakala Tan Sri memaklumkan tidak dapat hadir atas faktor kesihatan,” kata sumber itu.

SPRM dijangka memanggil antara 30 hingga 50 saksi bagi membantu siasatan.

Usaha turut digerakkan untuk mengesan aset lain milik pasangan tersebut termasuk di luar negara.

Dalam operasi terdahulu, SPRM telah menyita pelbagai aset bernilai lebih RM32 juta, termasuk sembilan kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta; 217 unit jam tangan mewah bernilai RM5 juta; 27 beg tangan berjenama melebihi RM1 juta serta barangan kemas lebih RM4 juta.

Bahagian Komunikasi Strategik SPRM mengesahkan semua rampasan dan sitaan dilakukan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.








#SPRM' #gedung arak mewah #kediaman Tan Sri #skandal lebuh raya