Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Menteri Kewangan Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian banglo.

SPRM menegaskan bahawa keputusan menarik balik kes tersebut telah dibuat Pejabat Peguam Negara dan bukannya suruhanjaya itu.

"SPRM amat terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang membebaskan Lim daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat dihadapi ahli perniagaan, Phang Li Koon selepas pihak pendakwaan menarik balik kes itu," kata badan anti-rasuah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu hari ini, Lim yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan Phang, dibebaskan oleh mahkamah atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membebaskan kedua-duanya berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V. Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata, beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).