KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, pihaknya tidak melengahkan tindakan dalam menyelesaikan kes rasuah, sebaliknya setiap laporan yang diterima akan disiasat berdasarkan asas yang dikemukakan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, setiap laporan yang mempunyai asas akan diteliti sebelum tindakan siasatan diambil.
“Apabila ada laporan dan asas, kita teruskan siasatan. Kita tidak lambat bertindak, kita bertindak mengikut masa dan yang sesuai,” katanya pada majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Kelantan di ibu pejabat SPRM negeri, di sini, pada Isnin.
Beliau turut merujuk kes berkaitan Tabung Haji dan kes di Kedah di samping berharap siasatan berkenaan dapat diselesaikan tanpa mengambil masa yang panjang.
Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah supaya menyalurkannya kepada SPRM untuk membolehkan siasatan dijalankan, berbanding membuat dakwaan yang belum disahkan menerusi media sosial.
Azmi berkata, SPRM menyediakan pelbagai mekanisme bagi menggalakkan orang ramai tampil membantu usaha membanteras rasuah, termasuk perlindungan pemberi maklumat dan Program Perlindungan Saksi.
Beliau berkata, selain itu, kerjasama masyarakat dan media amat penting dalam usaha membanteras rasuah, termasuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melaporkan salah laku kepada pihak berkuasa.
Katanya, peranan media tidak seharusnya terhad kepada pelaporan kes tangkapan, sebaliknya perlu turut merangkumi usaha mendidik generasi muda mengenai bahaya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Beliau berkata, usaha berterusan melalui pendidikan dan pencegahan penting bagi melahirkan generasi yang berintegriti.
Pada majlis itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff atas khidmat bakti sepanjang menerajui SPRM Kelantan.
Jawatan Pengarah SPRM Kelantan kini dipangku oleh Najwa Mohd Sabry berkuat kuasa hari ini susulan persaraan Azmin.
-- BERNAMA