Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, pihaknya tidak pernah menyatakan bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak disiasat, seperti kenyataan media yang dikeluarkan syarikat pelaburan negara itu pada Rabu.

Dalam maklum balas segera, Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Datuk Rohaizad Yaakob berkata, dalam kenyataan media bertarikh 22 September 2015, pihaknya hanya menyebut bahawa 'SPRM tidak menjalankan siasatan ke atas 1MDB'.

"Dalam kenyataan itu, SPRM menyebut bahawa isu 1MDB disiasat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan oleh yang demikian, sebarang pertanyaan berkenaan isu ini mestilah dirujuk kepada PDRM.

"Perkara ini juga jelas susulan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, semalam," jelas Rohaizad yang turut menekankan bahawa perkara itu telah diperjelasKAN sebelum ini menerusi kenyataan media bertarikh 5 Ogos 2015.

Dalam pada itu SPRM turut berharap supaya mana-mana pihak tidak membuat kenyataan kononnya SPRM telah membersihkan pihak terbabit dalam isu 1MDB.

Terdahulu, 1MDB sewaktu membalas kenyataan Ahli Parlimen DAP-Petaling Jaya Utara Tony Pua, menyatakan bahawa SPRM tidak menyiasat 1MDB dan secara tidak langsung mengukuhkan bukti bahawa 'tiada kesalahan telah dilakukan 1MDB'.