MALAYSIA

SPRM tumpu dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion babitkan IJM

Bernama 19/01/2026 | 11:20 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.


Ringkasan AI
  • SPRM menumpukan perhatian terhadap dakwaan pengubahan wang haram RM2.5 bilion yang melibatkan IJM Corporation Bhd, dengan individu berkepentingan termasuk seorang Tan Sri dan penasihat syarikat.
  • Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) turut mengenal pasti dua eksekutif yang terlibat dalam transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit, di mana kedua-dua individu kini berada di luar negara.
  • Selain itu, SPRM juga menyiasat dakwaan manipulasi harga saham semasa usaha Sunway Group untuk mengambil alih IJM menerusi urus niaga RM11 bilion, yang berpotensi mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia.


Sumber dalaman suruhanjaya itu memaklumkan bahawa seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat yang bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.

"Pasukan penyiasat kini sedang mengumpul maklumat lanjut berkaitan dakwaan berkenaan sebelum satu siasatan rasmi dibuka," katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) (Serious Fraud Office) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara.

Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham.

Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM dan maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


#IJM #SPRM #pengubahan wang haram #Serious Fraud Office